JENIS WASIAT DAN KENAPA KITA PERLU TULIS WASIAT?
Secara ringkas wasiat ada 2 jenis. Walaupun kedua-duanya dipanggil wasiat, tapi 2 jenis wasiat ini mempunyai fungsi, tujuan, sifat dan bidangkuasa yang berbeza.
WASIAT PEMBERIAN HARTA
Jenis wasiat yang pertama ialah wasiat pembahagian harta. Wasiat pembagian harta bagi org Islam menurut hukum syarak adalah terhad dan tertakluk kepada syarat berikut: 1) Penerimanya tidak boleh dari kalangan penerima faraid; 2) Jumlah yang boleh diberikan tidak lebih 1/3 dari keseluruhan harta arwah selepas ditolak hutang piutangnya.
Wasiat pemberian harta ini bertujuan-seperti yang jelas pada namanya- memberi harta kepada pihak tertentu selain selepas kematian pewasiat. Jika pewasiat mempunyai hajat untuk memberikan harta kepada selain ahli Faraid seperti kenalan, madrasah, masjid atau lain-lain maka wasiat pemberian harta amat berguna dalam situasi tersebut. Jika penerima yang dihajati adalah dari kalangan ahli Faraid seperti anak kandung, isteri atau ibubapa maka dokumen Hibah adalah lebih tepat dan sesuai.
Wasiat pemberian harta orang Islam dari segi bidang kuasa hanya boleh disahkan oleh mahkamah syariah. Bidang kuasa ini adalah selari dengan undang-undang negara iaitu menurut Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
WASIAT PENTADBIRAN
Jenis wasiat yang kedua ialah wasiat pentadbiran pusaka. Wasiat pentadbiran dibuat bagi tujuan memudahkan serta melancarkan urusan pusaka selepas pewasiat meninggal dunia. Dalam keadaan sekarang khususnya selepas Pendemik Covid-19 yang menyebabkan kes pusaka banyak tertangguh, wasiat pentadbiran akan mempercepat pengurusan berkali-kali ganda.
Fungsi wasiat pentadbiran ini pula bukanlah untuk menentukan hak pembahagian pusaka. Sebaliknya, ia bertujuan memudahkan pentadbir dalam menguruskan harta pusaka pewasiat selaras hukum syarak, undang-undang serta hasrat pewasiat itu sendiri. Dengan adanya wasiat pentadbiran, bukan sahaja pengurusan pusaka akan jadi lebih lancar malah pengurusan pusaka akan dibuat dengan betul supaya hasrat pewasiat dipenuhi dan tiada hak waris yang akan tertinggal.
Dari segi bidang kuasa, menguatkuasakan wasiat pentadbiran adalah melalui kuasa mahkamah sivil dimana Geran Probet akan diberikan kepada Pentadbir yang dilantik yang mana geran tersebut memberi kuasa kepada pentadbir untuk berurusan dengan pejabat tanah, jabatan pengangkutan jakan, bank dan lain-lain institusi lagi berhubung harta peninggalan pewasiat.
PENULISAN
Dari segi amalan, penulisan kedua-dua jenis wasiat boleh digabungkan dalam satu dokumen yang sama jika ada keperluan mengikut situasi pewasiat. Walaubagaimanapun pada hemat saya wasiat yang ‘wajib’ dibuat oleh setiap individu adalah wasiat pentadbiran kerana ia menyempurnakan urusan pewasiat didunia dan akhirat selain akan memudahkan waris. Selebihnya, jika pewasiat itu ada harta yang ingin diberikan kepada sesiapa saja selain ahli Faraidnya, maka bolehlah ditambah pula dengan wasiat pemberian harta.
-Halem Husin

Recent Comments