Dokumen yang paling penting dalam pengurusan pusaka adalah Surat Kuasa Mentadbir. Surat Kuasa Mentadbir sangat diperlukan oleh pentadbir yang dilantik untuk bertindak secara sah ketika menguruskan harta peninggalan arwah dan seterusnya untuk membuat pembahagian kepada waris. Walaupun Surat Kuasa Mentadbir sangat penting, tapi ia bukanlah lesen untuk pentadbir bertindak sesuka hati kerana semua tindakan pentadbir masih tertakluk dengan undang-undang dan hukum syarak.

 

Tanpa Surat Kuasa Mentadbir, harta pusaka seperti tanah dan rumah tidak dapat diturunmilik kepada waris. Bahkan, harta alih seperti wang dalam bank atau KWSP juga tidak boleh diakses pentadbir kecuali ada penamaan dibuat sebelum pemiliknya meninggal dunia. Oleh itu, antara tindakan awal kita ketika menguruskan pusaka adalah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atas nama salah seorang waris supaya dia dilantik menjadi pentadbir yang sah.

 

Tapi dimana nak mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir?

 

Ada 2 institusi dimana kita boleh mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir:

 

PERTAMA: Mahkamah Tinggi Sivil. Melalui permohonan peguam yang kita lantik, permohonan mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir boleh dibuat dengan cepat. Semua prosedur permohonan akan diuruskan oleh peguam dan pentadbir yang ingin dilantik hanya perlu hadir sekali sahaja ke mahkamah untuk perbicaraan. Secara purata masa yang akan diambil bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dimahkamah ialah 2 ½ bulan dari hari permohonan difailkan.

 

KEDUA: Unit Pembahagian Pusaka Kecil. Permohonan pusaka kecil boleh dibuat di salah satu dari 36 pejabat pusaka kecil diseluruh negara. Kebiasaannya pejabat pusaka kecil ini terletak di pejabat daerah atau pejabat tanah di sesebuah daerah dan ada juga yang berkongsi pegawai pusaka bagi beberapa daerah sekaligus. Kes-kes yang dibicarakan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil amat banyak jadi lazimnya kes-kes pusaka kecil ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan. Menurut piagam Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian yang menguruskan pejabat pusaka kecil, kes-kes pusaka kecil akan dipanggil bicara untuk kali pertama selewat-lewatnya dalam masa 5 ½ bulan dari hari permohonan difailkan. Bagaimanapun penyelesaian sesebuah pusaka itu bergantung kepada perbicaraan dan kadang kala boleh sampai bertahun-tahun.

 

Anda mungkin pernah dengar tentang Amanah Raya bukan? Ya, Amanah Raya adalah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membantu pengurusan pusaka rakyat Malaysia namun perkhidmatan Amanah Raya pastinya akan dikenakan dengan caj-caj tertentu. Hari ni ada banyak syarikat/firma yang menawarkan perkhidmatan yang serupa tapi dengan mengenakan caj yang lebih murah.

 

Namun tidak dinafikan, Amanah Raya yang ditubuhkan melalui Akta Amanah Raya mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Contohnya, bagi arwah yang meninggalkan harta pusaka berupa Harta Alih (wang, saham, barang kemas) sahaja dengan nilai dibawah RM 600,000, pusaka arwah itu boleh diuruskan dalam pejabat Amanah Raya sendiri tanpa melalui kedua-dua institusi di atas tadi. Menjadikannya dapat diuruskan dengan cepat dan mudah.